Kota Bharu: Seorang pengumpul kasut tidak menyangka kasut Converse vintaj yang dimilikinya kini sudah ada pembeli yang setuju untuk membelinya dengan harga RM40,800.
Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata, dia memuat naik status di Facebook (FB) semalam untuk menjual kasut dengan nama Converse Non Skid berusia 104 tahun itu kerana terkesan dengan pan.demik Cov1d-19.
Status yang dimuat naik olehnya menjadi tular dan mendapat 8,500 tanda suka dan dikongsi lebih 6,400.
Menurutnya, dia tidak menyangka status di FB itu tular dan tidak sampai dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik, ramai yang berminat serta bertanya mengenainya.
“Ada seorang lelaki dari Pahang bersetuju untuk membeli kasut itu dengan harga yang saya tawarkan. Kami sudah buat akad jual beli semalam.
“Sebenarnya saya amat sayangkan koleksi ini kerana membelinya dengan harga puluhan ribu ringgit pada 2018, namun saya terpaksa menjualnya.
“Saya bersetuju menjualnya kerana pembeli juga orang negara ini dan tahu amat sukar untuk mendapatkan koleksi seperti itu selepas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chempaka di sini, hari ini.
Wan Irfayuim Azim yang juga peniaga kenderaan saji (food truck) berkata, kasut yang dihasilkan pada 1917 itu didatangkan bersama dengan sepasang seluar pendek keluaran 1916 serta pelindung lutut pemain bola keranjang selepas dibelinya daripada pasangan suami isteri Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, mengikut cerita pasangan itu, seluar dan pelindung lutut itu dijumpai bersama-sama kasut itu yang disimpannya sejak 1989 sebelum mereka terpaksa menjualnya kerana memerlukan wang kerana masalah kesihatan.
“Ketika itu, saya bekerja sebagai ejen pelancongan di Jepun dan suka menulis berkenaan sejarah kasut vintaj di laman Facebook serta blog. Pasangan itu kemudiannya berhubung dengan saya selepas mereka membaca perkongsian yang dibuat.
“Saya tidak sangka kasut yang sebelumnya saya hanya dapat tengok gambar menjadi milik saya walaupun hanya untuk tempoh tiga tahun sahaja.
“Namun, akibat pand.emik Cov1d-19, dengan berat hati saya terpaksa menjualnya.
“Selain koleksi itu, saya sudah menjual lebih 60 koleksi kasut vintaj yang lain dengan harga antara ratusan ringgit dan ada yang mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.
Suami kepada, Nor Hafiza Fariha Saudi, 34, itu berkata, dia pulang ke Malaysia dan kini menetap di Kampung Chempaka di sini, sejak Mac tahun lalu ekoran perniagaan industri pelancongan terjej.as.
Menurutnya, dia berharap pembeli baharu itu dapat menjaga kasut itu dengan baik kerana ia mempunyai nilai yang tinggi.
“Saya akan menghadiahkan tiga lagi pasang kasut Converse keluaran 1950 hingga 1970 kepada pembeli itu,” katanya.
Sumber : Metro Online