Nampak Baju Warna Putih Tergantung Depan Rumah, Bila Mereka Datang Nak Beri Bantuan Ini Yang Mereka Jumpa

Sejak dua bulan lalu, sebuah keluarga dari Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh, Kelantan, seolah-olah hil4ng punca apabila sumber pendapatan mereka terputus.

Selain bergantung kepada sedikit wang simpanan sedia ada, Noramaslina Nazir, 45, dan 12 ahli keluarganya yang lain hanya menanti bantuan yang disampaikan wakil rakyat untuk bertahan hidup, itu pun hanya dalam jangka masa tertentu.

Apa yang pasti Norasmaslina dan suami Suhaimi Idris, 51, hanya mampu menyediakan nasi berlauk telur kicap sebagai makanan harian mereka sekeluarga.

Noramaslina berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan tidak dapat melakukan pekerjaan sejak dua bulan lalu khususnya sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 Jun lalu.

“Kami mempunyai 8 anak berusia dua hingga 16 tahun, selain tiga anak saudara yatim piatu tinggal bersama kami.

“Sejak dua bulan lalu memang suami tidak dapat bekerja, kami makan apa yang ada saja. Biasanya nasi dengan lauk telur.

“Sesekali ada terima sumbangan wakil rakyat yang penghulu hantar barangan keperluan seperti beras, minyak dan telur,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya, hari ini.

Namun beberapa hari lalu bekalan keperluan harian di rumah Noramaslina hampir habis sekali gus memaksa mereka menggantung sehelai t-shirt putih ketika kempen kibarkan bendera putih sedang rancak berlangsung.

Jelas Noramaslina, keputusan menggantung baju putih di tangga depan rumah mereka dibuat jam 3 petang semalam sebelum badan bukan kerajaan (NGO) hadir dua jam kemudian untuk menyerahkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

“Selepas disarankan oleh rakan supaya menggantung bendera putih, saya dan suami sepakat menggantung baju putih di depan rumah memandangkan bekalan makanan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja lagi.

“Malah, wang simpanan selama ini juga sudah habis memandangkan suami sudah lama tidak bekerja,” katanya.

Tambahnya, setiap hari dia dan anak-anak hanya mampu menyediakan telur kicap sebagai hidangan harian memandangkan dia mempunyai ramai anak.

“Bukan kerana anak tidak suka ayam atau ikan, namun makanan itu agak mahal dan telur lebih jimat.

“Alhamdulillah semalam ada beberapa NGO hadir memberikan keperluan asas termasuk wang tunai selepas inisiatif yang saya lakukan.

“Saya bercadang untuk menggantung baju putih hanya beberapa hari saja bagi memastikan bekalan makanan cukup. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang hadir menyampaikan sumbangan,” kata Noramaslina.

Sumber : Malaysia Kini

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : ASN