Meskipun sudah menginjak usia separuh abad, pelakon, Zamarul Hisham akui bersyukur kerana namanya masih lagi menjadi antara pilihan pengarah untuk membawakan watak utama.
Menurut Zamarul, sebagai pelakon, dia tidak pernah mengambil mudah dalam setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Sejujurnya saya akui memang agak mencabar untuk membawakan watak utama pada usia 51 tahun. Ada kalanya, saya terfikir yang diri ini dah berumur sangat.
“Bagaimanapun, bila diberikan peluang seperti ini, saya bersyukur kerana Allah masih memberi rezeki dan pihak stesen tv pun masih memberi peluang untuk mengembangkan lagi bakat saya.
“Jadi, saya tak rasa peluang ini seperti ‘makanan’ atau kerja mudah tapi saya anggap ia sebagai tanggungjawab yang besar.
“Umur hanyalah sekadar angka. Mungkin bakat saya masih lagi diperlukan. Selagi diberikan kepercayaan, saya akan sentiasa berikan yang terbaik. Segalanya dengan bantuan dan izin Allah,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, peluang seperti ini bukanlah tiket untuk membangga diri, sebaliknya ia merupakan cabaran untuk sentiasa memberikan yang terbaik.
“Dalam drama ini, saya akur dengan karakter yang dituntut pengarah. Saya bukan nak menunjukkan diri ini sebagai pelakon ‘otai’ cuma mungkin ketekunan dan k3sungguhan saya dalam menghayati skrip serta watak membuatkan saya relavan.
“Daripada dulu lagi saya dah amalkan untuk sentiasa buat yang terbaik. Bila dapat skrip, saya bukan orang yang sambil lewa.
“Kalau skrip itu baik, saya akan improvised jadi lagi baik. Saya juga ikhlas ketika bekerja kerana saya berkerja untuk isteri dan anak-anak.
“Mungkin ini juga antara yang boleh dicontohi oleh para pelakon baru. Pelakon lama dan baru bagi saya sama sahaja. Yang membezakan hanyalah pengalaman,” kongsinya lagi.
Zamarul berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media drama Aku Tanpa Cintamu pada Selasa.
Pada masa sama, suami kepada pelakon dan penyanyi, Diana Rafar ini juga sempat menitipkan nasihat buat para pelakon baru.
“Kedatangan mereka ini amat dialu-alukan sebab mereka yang akan memeriahkan industri kita. Takkanlah kita nak tengok muka sama sahaja.
“Perbezaan diantara pelakon lama dan baru mungkin kami ini sudah dididik supaya menghargai tanggungjawab dan bidang yang kita pilih. Kita kena sayang pekerjaan ini dan buat kerana Allah.
“Ikhlas juga penting dan bukan hanya sekadar mengejar glamour dan nama. Nasihat saya, bila orang dah suka dengan lakonan kita, jangan sesekali lupa asal usul,” ujarnya lagi.
Menerusi drama Aku Tanpa Cintamu ini, Zamarul membawakan watak Adam yang juga merupakan pengarah terkenal yang terjatuh hati kepada Nuha yang dilakonkan oleh Bella Astillah.
Drama ini sudah mula ditayangkan sejak 15 September lalu di slot Samarinda, TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : MH