Rasa ‘lain’ bila ada cucu

Memiliki cucu dan bergelar datuk atau nenek tentunya menghadirkan satu perasaan berbeza.

Tidak seperti ketika dikurniakan anak, menimang cucu mungkin memberikan rasa teruja yang lebih, terutama mendapat gelaran baru seperti atuk, tok wan, tok bah, mak tok, opah dan macam-macam lagi.

Datuk dan nenek biasanya sinonim dengan usia tua atau warga emas. Namun, memperoleh cucu dalam usia muda iaitu di bawah 50 tahun tentunya sangat istimewa, lebih-lebih lagi dalam kalangan selebriti yang pastinya mendapat perhatian ramai.

Antaranya ialah penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 49; pelakon, Fauzi Nawawi, 49; penyanyi, Mamat Exists, 44; dan pemain dram XPDC, Lola, 49, yang dikurniakan rezeki bergelar datuk dan nenek pada usia 40-an.

Dalam masa sama, mereka yang masih aktif dalam industri hiburan mengambil sikap berhati-hati dalam setiap tindakan kerana tidak mahu memalvk4n cucu yang belum mengerti apa-apa.

Nora berkata, dia sangat bersyukur apabila dikurniakan cucu lelaki, Ayden Johan ketika berusia 47 tahun.

Ayden yang lahir pada 26 Ogos 2020 adalah anak pertama hasil perkahwinan anak sulung Nora iaitu Mohd sy4kir Iman dan isteri, Putri Eliya Sofea pada Januari 2019.

“Ayden dah nak masuk usia tiga tahun. Satu kenikmatan juga sebenarnya sebab bila kita sebut ada cucu di usia muda, maksudnya anak kita kahwin pada usia muda.

“Saya sangat-sangat bersyukur kerana dapat cucu sebelum masuk usia 50 tahun. Kita dah berpeluang main kejar-kejar dengan cucu. Selalunya kebanyakan nenek bila dah tua hanya boleh jaga cucu saja tapi dah tak larat nak main sama-sama,” katanya.

Nora menganggap dirinya mempunyai kelebihan dan seronok mempunyai cucu.

“Sebagai wan (nenek), sayang saya kepada cucu lain macam sikit. Seminggu sekali pasti Ayden datang rumah. Selepas itu kami keluar pergi jalan-jalan. Walaupun Ayden manja tapi saya dan besan tak nak ajar manjakan sangat. Biarlah dia berdikari,” katanya.

Sementara itu, Fauzi kini sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran cucu ketiganya Januari ini.

Cucu sulungnya kini berusia dua tahun, manakala yang kedua berusia setahun lapan bulan.

“Cucu saya, Yasmin lahir pada 27 September tahun lalu. Farrel pula lahir pada 26 Oktober tahun yang sama. Ia adalah cahaya mata anak-anak saya hasil perkahwinan terdahulu.

“Saya sambut kehadiran cucu dengan lebihkan buat persediaan di rumah. Bila mereka datang, saya sediakan mainan walaupun anak dah besar. Biar mereka selesa dan seronok. Mereka pun datang setiap dua minggu sekali. Peruntukan untuk cucu memang ada saya sediakan,” katanya.

Fauzi berkata, kehadiran cucu adalah satu petanda memperingatkan diri bahawa dirinya sudah tua.

“Kalau tidak, perasaan itu belum ada. Pergerakan pun terbatas. Saya kini lebih banyak berfikir pada anak dan cucu. Jika nak berlakon sesuatu watak terutamanya watak jahat, saya fikir dulu kerana ia akan bagi kesan dulu pada anak dan sekarang cucu.

“Watak yang dapat sekarang pun bapa-bapa dan yang baik-baik kerana watak jahat dah kurang. Tawaran begitu pun dah kurang yang datang. Bila ia kurang, saya perlu buat persiapan ke arah kerjaya lain seperti persediaan dengan isteri untuk buka kafe di Bukit Bintang,” katanya.

Pemain dram XPDC, Lola, 49, dikurniakan cucu pertama, Muhammad Azlan Shah, 6, ketika dia berusia 43 tahun.

Selain Muhammad Azlan Shah, Lola turut memiliki cucu perempuan iaitu Nur Zara Adellea Muhammad Firdaus yang kini berusia dua tahun.

“Cucu pertama ialah cahaya mata daripada anak sulung saya iaitu Putri Nur Natasha, manakala cucu kedua daripada anak kedua, Putri Nur Nadia hasil perkahwinan terdahulu.

“Hilang kata-kata apabila saya dikurniakan cucu pada usia muda. Memang tak sangka kerana kita biasa ada anak dan bukan cucu. Apabila ada cucu, rasa lain sangat.

“Hubungan dengan cucu pertama agak rapat manakala yang kedua pula saya hanya dapat bersua muka apabila usianya sembilan bulan kerana ketika itu pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Dia tinggal dengan moyangnya di Kuala Kangsar, Perak,” katanya.

Menurutnya, perasaannya terasa janggal selepas bergelar datuk kerana pergerakan turut terbatas.

“Perasaannya memang lain dan terus bertukar 360 darjah. Setiap perkara yang dilakukan mesti memikirkan cucu dan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Exists, Mamat, 44, sangat gembira apabila bergelar datuk kepada seorang cucu perempuan pada 13 November lalu. Ia hasil perkahwinan anak keduanya, Mohd Eiki Daniel.

“Syukur, saya dah jumpa cucu saya. Perasaan saya sangat bahagia apabila tengok cucu yang comel. Ketika itu macam tak percaya pun ada sebab saya dah bergelar datuk.

“Ramai yang tahu perkara ini ucap tahniah kepada saya. Kiranya saya makin tua sekarang. Sebenarnya tak pernah terfikir nak dapat cucu pada usia ini. Apapun syukur kerana ini anugerah daripada Allah.

“Ada cucu lebih bermakna kerana dikira ahli keluarga baru,” katanya yang mengharapkan kehadiran cucu membawa rezeki buatnya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Harian Metro