Diasak mengenai teman baharu selepas gambarnya tersebar, ini jawab Neelofa

KUALA LUMPUR: “Sampai masa pasti saya berkongsi dan apabila membabitkan hal berkaitan peribadi, saya akan lakukannya dengan cara terbaik.

“Saya tidak akan membelakangkan teman media dan pasti menjemput mereka bersama”.

Demikian kata Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor apabila diasak spekulasi mengenai teman baharu selepas gambarnya bersama anak seorang kenamaan tersebar, baru-baru ini.

Pelakon, pengacara dan usahawan jelita berusia 28 tahun itu, tegas dengan pendirian untuk tidak berkongsi hal peribadi selagi belum masanya.

Meskipun ramai yang mengandaikan dirinya kembali diulit bahagia, penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu lebih selesa membiarkan persoalan itu menjadi teka-teki.

“Sejak awal membabitkan diri dalam bidang seni, saya sering diterjah pelbagai isu peribadi. Sudah banyak yang saya jelaskan hingga suatu ketika, saya langsung tidak boleh memberi bayangan kerana ia akan menimbulkan spekulasi.

“Jadi, saya ambil pendekatan untuk tidak langsung berkongsi mengenainya. Pengalaman lalu banyak mematangkan saya, namun apabila tiba masa, semuanya akan terjawab.

“Maaf buat sementara waktu ini, saya tidak boleh berkongsi sama ada saya sudah menemui pengganti atau sebaliknya,” katanya.

Di sebalik kontroversi yang melandanya saban tahun, Neelofa menyifatkan tahun 2017 meninggalkan pelbagai kenangan indah dan manis.

“Saya ambil kesempatan melakukan penstrukturan semula perniagaan dan merancang pelbagai kempen pada awal tahun ini ketika jadual tidak terlalu padat.

“Saya meneruskan kerjaya seni apabila terikat komitmen sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2017.

“Hanya selepas sambutan Aidilfitri lalu, jadual saya kembali sibuk apabila perlu terbang ke luar negara memenuhi pelbagai komitmen.

“Saya sudah terbiasa dengan jadual harian yang sibuk. Pada masa sama, saya tetap lunaskan penggambaran drama Red Velvet bergandingan dengan Alif Satar,” katanya.

Neelofa berkata, beliau berhasrat memperlahankan sedikit aktiviti lakonan, tahun depan berikutan komitmen perniagaan, selain tugasnya sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: BHOnline