Ditambah pula selepas kejayaan drama Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan menjadikan Mira cukup dekat di hati peminat.
Untuk mengekalkan keadaan itu, apa yang menjadi keutaman Mira adalah sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua orang.
“Saya bersyukur dengan apa diterima dari awal hingga sekarang. Malah, kasih sayang yang diberikan peminat membuatkan diri ini rasa lebih dihargai. Sepanjang berada dalam bidang ini, saya selesa menjadi diri sendiri.
“Dari awal lagi saya menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling tidak kira apa pangkat dan status individu itu. Saya cuba mendidik diri untuk tidak melakukan sesuatu perkara semata-mata untuk menjaga kepentingan.
“Saya yakin jika ia menjadi amalan seseorang, hubungan itu takkan kekal lama. Dalam erti kata lain, setiap apa yang ingin dilakukan perlulah ikhlas,” katanya.
Menurut Mira, dia juga boleh menghidu sikap individu yang suka mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.
“Disebabkan itu, saya mengambil pendekatan layan semua orang sama rata. Cuma, terpulang sejauh mana penerimaan individu itu,” katanya.
Kejayaan diraih Mira juga bukan sahaja menerusi personaliti dan keperibadian dimiliki tetapi perancangan kerjaya turut memainkan peranan.
Mira berkata, setiap tahun dia akan merencana sesuatu perkara sebagai langkah untuk memajukan diri dan kerjaya tanpa perlu terikat dalam satu bidang semata-mata.
“Diakui, untuk terus kekal relevan dalam bidang ini bukan mudah. Apatah lagi sekarang boleh dikatakan hampir setiap hari ada pelakon baharu dan muda. Justeru, perlu untuk saya mengatur strategi dan perancangan kerjaya dengan lebih rapi.
“Pada tahap sekarang, bukan alasan untuk saya bersenang lenang atau mengambil mudah setiap perkara. Kalau saya leka, tidak mustahil akan ketinggalan banyak perkara. Jadi, setiap tahun saya bersama pengurus akan berbincang apa yang perlu diberi fokus.
“Disebabkan itu, selain berlakon saya juga menjadi pengacara dan turut terbabit dalam bidang perniagaan. Sekarang, saya fokus menjadi duta beberapa jenama tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Namun, sebagai manusia biasa, Mira terpaksa akur dengan ketentuan Allah SWT kerana tidak semua yang dirancang membuahkan hasil atau berjaya dilaksanakan.
“T1pu kalau saya katakan semua yang dirancang berjaya direalisasikan. Cuma, saya ‘tampung’ balik dengan perkara lain supaya ia tidak meninggalkan kesan lama pada kerjaya.
“Mungkin saya beruntung apabila aktif di media sosial. Daripada situ, peminat boleh terus mengikuti saya. Walaupun tanpa produk lakonan, mereka tetap melihat saya dalam bidang lain,” katanya.
Begitu juga dalam kerjaya lakonan, Mira seboleh-bolehnya mengelak untuk melakonkan watak klise.
“Saya bertudung, jadi watak diberikan agak terhad. Jadi, bagi mengelakkan peminat dan penonton bosan, saya mengambil pendekatan untuk mengehadkan sedikit watak yang hampir sama.
“Itulah pentingnya perancangan. Daripada situ, kita boleh susun dan tengok apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.
Selepas bergandingan menerusi dua drama dan filem dengan pelakon Remy Ishak, Mira sekali lagi dipertemukan dengan pelakon Nur Kasih itu dalam mini siri kempen musim sejuk jenama Uniqlo.
“Tawaran ini saya dapat ketika kami menjayakan telefilem Pujaan Hati Kanda Raya. Saya tak pasti kenapa mereka memilih kami. Mungkin ia secara kebetulan apabila drama kami mendapat perhatian penonton.
“Penggambaran filem pendek berbentuk mini siri ini dijalankan di Hokkaido, Jepun baru-baru ini. Diterbitkan tiga episod dengan durasi kurang 10 minit setiap kali ditayangkan.
“Saya tidak terikat dengan jenama ini sebaliknya hanya dipilih untuk berlakon dalam kempen mereka,” katanya.
Mengenai gandingan bersama Remy, Mira mengakui kerjasama selama setahun dengan pelakon itu dalam beberapa projek memudahkan lagi keserasian mereka.
“Selepas beberapa kali bekerjasama, tidak sukar untuk kami mencipta keserasian. Namun, ia tidak bermakna selepas ini kami kena bergandingan lagi. Saya tidak mahu orang salah faham.
“Sekiranya dalam mini siri ini saya ditawarkan berlakon dengan orang lain pun, saya okay. Tidak ada sebab saya kena memilih Remy untuk berlakon dengan saya. Lagi pun, dari dulu lagi saya terbuka berlakon dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon