[FOTO] Duduk Sebelah Anak Sendiri Nampak Macam Adik Beradik, MELISSA SAILA Tak Makan Tua

Kalau sebut nama Melissa Saila sudah pasti terbayangkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya. Membesar dalam sebuah keluarga seni, Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma dan Seniwati Mariani sudah cukup membuktikan bakat semula jadi yang ada dalam dirinya.

Nama Melissa Saila juga begitu sinonim dengan drama Cili Padi. Membawakan watak sebagai Maria dalam drama yang mengumpulkan kanak-kanak sebagai watak utama, Melissa Saila umpama tidak makan tua. Wajahnya tetap awet muda walau sering tampil tanpa solekan bila melihat foto terbaharunya.

Rugi rasanya kalau tak tanya soalan tentang rahsianya yang sentiasa kelihatan muda. “Ya ke, adoi! Tak terfikir pun. Bagi saya mudah sahaja, apa yang penting adalah minda kena selalu sihat dan selalu positif. Jangan banyak streskan otak,” kongsi Melissa Saila dengan jujur.

Kalau sudah sekali bergelar Anak Wayang selamanya akan menjadi Anak Wayang. Wanita yang kini berusia 47 tahun rupa-rupanya dalam diam sedang sibuk di set penggambaran filem.

 

Melissa Saila atau nama sebenarnya Melisa Mohd Alias kini sedang sibuk mengarah sebuah filem yang bertajuk Kuala Lambat The Movie terbitan Azura Pictures. Antara artis yang turut terlibat dalam projek ini adalah seperti Siti Saleha dan Nabila Huda.

Bercerita tentang penglibatan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini bergelar seorang Pengarah, “Sudah lebih 10 tahun saya bergiat aktif dalam dunia pengarahan.

Tetapi kebanyakan adalah dalam bentuk drama. Pernah juga dulu saya mengarah sebuah filem tetapi sayangnya filem itu tidak keluar panggung. Ada beberapa masalah yang menyebabkan filem itu tidak dapat ditayangkan,” terang Melissa Saila.

Wanita yang pernah berlakon dalam filem Puteri Gunung Ledang ini begitu teruja apabila bercerita tentang filem terbaharu arahannya ini. Menurut Melissa Saila filem ini dijangkakan akan menemui penonton awal tahun hadapan.

Apabila diajukan pertanyaan tentang cabaran mengarah di era digital, jawabnya ringkas, “Sekarang lebih banyak kemudahan berbanding dahulu. Tapi nak cari agar cinematic tu yang payah,” ujar Melissa Saila yang pernah berlakon dalam filen Ranjau Sepanjang Jalan ini.

Lebih 36 tahun terlibat dalam dunia seni, sudah tentu asam garam dalam bidang ini sudah dilalui oleh wanita ini. Ketika ditanya apakah perbezaan industri dahulu dengan sekarang, jawabnya, “Sekarang zaman nak popular. Semua tentang populariti semata-mata,” katanya yang mempunyai syarikat produksi sendiri, Kus Semangat Aktor.

Melissa Saila telah mendirikan rumahtangga dengan Megat Fauzi Shukarnain dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Noor binti Megat Fauzi, 15 tahun, Zain bin Megat Fauzi, 13 tahun dan Zahrah binti Megat Fauzi, 10 tahun.

Ketika ditanya apakah pesanan yang sering diberi oleh anak seniwati Mariani ini kepada anak-anak, jawabnya, “Kita kena selalu bersyukur so kita senang hati. Also amal makanan sihat paling penting jaga adab. Ingat agama dan hormat orang.

Saya juga selalu pesan kat anak-anak, rupa cantik kalau kelakuan dan perangai tak elok, tak guna juga,” bicara Melissa mengakhiri perbualan.

Foto: Instagram @melissa_saila_oil

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Nona