Isma sebak atas sokongan yang diberikan ibunya
PENYANYI Isma Sane tidak dapat menahan sebak apabila melihat ibunya hadir pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Kembali pada Sabtu.
Isma, 21, berkata, dia terharu ibunya yang menetap di Sungai Besar, Selangor datang memberikan sokongan.
“Saya rapat dengan emak tambahan lagi saya anak bongsu daripada sembilan adik-beradik, memang saya tak dapat menahan sebak kerana emak sanggup datang memberi sokongan.
“Saya tak pernah berenggang terutama selepas pemergian bapa ketika saya berumur 10 tahun. Namun kini saya terpaksa tinggal berjauhan demi mencari rezeki buat keluarga,” ujarnya kepada mStar.
Isma hargai pengorbanan ibu membesarkannya sendirian selepas pemergian bapa ketika dia berusia 10 tahun.
Penyanyi yang membina nama dengan lagu Derita ini berkata dia kini bersyukur apabila dapat membantu mengubah nasib keluarganya selepas bergelar penyanyi.
“Sekarang saya dah boleh bantu keluarga dari segi ekonomi, walaupun tidak mewah namun saya lega dapat membalas jasa emak.
Isma Sane lancar single keduanya berjudul Kembali.
“Kalau diikutkan memang pada mulanya emak agak keberatan memberi kebenaran untuk saya menjadi penyanyi. Kami adik beradik memang tidak terdedah dengan dunia hiburan.
“Tapi sekarang emak faham bahawa bidang ini menjadi punca rezeki untuk saya dan dia kini adalah penyokong nombor satu saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, single Kembali hasil ciptaan Isma sendiri bakal dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos ini.
Versi tidak rasmi lagu tersebut sudah mendapat lebih empat juta kali tontonan di YouTube.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber:mStar