SIAPA yang tak terpikat kalau mendengar suara anak teruna mengalunkan azan atau bacaan ayat-ayat suci Al-Quran?
Tambahan pula jika si pelantun itu mempunyai suara yang lunak merdu, pasti boleh membuatkan kita terbuai-buai mendengar alunannya.
Begitu juga perkongsian seorang pelayar di Twitter baru-baru ini yang memuat naik satu video memaparkan rakannya melaungkan azan untuk mengajak rakan-rakan lain yang mungkin sedang bermain agar pulang memandangkan sudah masuk waktu Maghrib.
Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian netizen apabila ia meraih lebih 13,000 ulang kicau dan dihujani ratusan komen netizen.
Ketika dihubungi mStar, empunya suara yang melaungkan azan tersebut, Muhammad Faiq Ainuddin Abu Hassan berkata, dia sebetulnya langsung tidak mengetahui tindakannya melaungkan azan dirakam rakan baiknya, Imran Aqil Salahuddin.
“Sebenarnya ketika itu, saya dan rakan-rakan sedang bermain futsal. Apabila menjelang waktu Maghrib, kami pun berhenti dan mahu pulang. Semasa hendak pulang, kami terperasan lampu masih terpasang. Rupa-rupanya rakan-rakan dari unit sukan masih ada lagi dan sedang bermain.
“Jadi saja-sajalah nak menyakat mereka, saya pun melaungkan azan. Tak tahu pula kawan baik saya ni rakam sehinggalah malam itu saya perasan ia viral di Twitter. Tak sangka pula sampai jadi macam tu sebab suara saya tak ada laa sedap mana pun,” ujarnya.
Video yang dimuat naik rakan Faiq dalam Twitter meraih hingga 18,300 retweet.
Bercerita lebih lanjut kata Faiq, apa yang lebih melucukan, dia bukan sahaja menerima usikan daripada rakan-rakan, malah turut menerima usikan netizen yang mahu menjadikannya calon menantu pilihan selepas video berkenaan viral.
“Ada yang komen mahu minta nombor telefon ibu bapa saya sebab nak hantar rombongan meminang. Tapi saya anggap itu gurauan sahaja.
“Kalau rakan-rakan tu biasalah mereka mengusik. Mereka kata jangan lupakan rakan-rakan apabila sudah popular nanti,” katanya ketawa kecil.
Dalam pada itu, Faiq yang juga pelajar semester empat di Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini berkata, dia berasa sedikit segan selepas video tersebut tular kerana tidak mahu ada pihak yang melabelnya ‘alim-alim kucing’.
Rata-rata netizen memuji suara Faiq yang merdu mengalunkan azan.
“Saya sebenarnya berpersonaliti biasa saja, tidaklah terlalu alim. Cuma rakan-rakan mengenali saya sebagai bilal surau di politeknik ketika saya tinggal di kolej sewaktu semester 1 dan 2.
“Nak kata alim sangat tu tidaklah. Cuma ada sedikit pengalaman. Sebelum ini ketika masih menuntut di Sekolah Menengah Agama Al Maidah Addiniah, Kuala Lipis, saya pernah juga menjadi bilal muda di kampung. Setakat ini jadi bilal sahaja, (nak jadi) imam saya belum ada keyakinan lagi. Kalau imam kepada rakan-rakan di rumah sewa, pernahlah,” ujar pemuda berusia 20 tahun ini lagi.
Dalam pada itu ujar Faiq, sungguhpun video tersebut sekadar gurauan, dia berharap agar apa yang menjadi tular itu sedikit sebanyak dapat memberikan contoh yang positif buat anak-anak muda.
“Mungkin kita sebagai anak muda leka dengan hiburan. Namun bagi saya, sebagai seorang lelaki, setidak-tidaknya kita kena tahu tiga perkara iaitu boleh melaungkan azan, boleh menjadi imam dan boleh membaca Al-Quran,” ujarnya mengakhiri bicara.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber: mstar