SESIAPA yang bergelar wartawan penyiaran pastinya pernah berdepan pelbagai momen suka duka ketika bersiaran secara langsung di kaca TV. Tidak terkecuali dengan personaliti TV3, Amirulhakim Ahmad Lokman yang melalui kisah melucukan ketika membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Pontian, Johor baru-baru ini.
Rakaman gelagat Amirulhakim meniup seruling menggunakan mikrofon tanpa menyedari sedang live di Buletin 1.30 menjadi tular di Twitter. Video berdurasi 10 saat itu yang dikongsi seorang netizen mendapat 19,900 ulang kicau dan 15,900 tanda suka.
Mesra disapa Amirul, jejaka berusia 28 tahun itu mengakui adegan tersebut dilakukan secara spontan tanpa menyedari dirinya sedang live di TV. “Masa tu memang tengah standby untuk live cross. Sepatutnya saya diberitahu OK dah masuk intro dari reader, lepas tu barulah masuk muka saya.
“Tapi tak tahulah pula muka masuk masa on air time tu. Bila saya beritahu cameraman, dia pun terkejut sebab dia pun tak dapat que masa tu, saya juga. “Kebetulan masa tu ada lagu terpasang dekat tapak ceramah. Sementara menunggu nak hilang bosan, tu yang saya buat gaya main seruling,” katanya kepada mStar.
Jelasnya lagi, perbuatan itu bukan sengaja dilakukan untuk mencari publisiti. “Bila saya dapat mesej beritahu ‘engkau main seruling dah kenapa’. Malu juga sebenarnya waktu tu sebab scene tu terkeluar on air.
“Tapi sebetulnya scene itu tidak disengajakan pun. Saya bukanlah berniat nak cari perhatian atau publisiti, tapi cuma mahu hilangkan bosan sementara menunggu sebelum bersiaran langsung,” katanya.
Malah jejaka berasal dari Taiping, Perak itu mengakui pernah viral beberapa kali sebelum ini.
“Banyak kali jugalah pernah viral especially masa saya menyanyi lagu raya dekat TBS. Kali kedua masa saya menyanyi untuk laporan AJL. “Tapi scene tu berbeza sebab memang disengajakan untuk menarik perhatian penonton. Lagipun berita mengenai AJL kenalah juga menyanyi.
“Dekat TBS tu pula saya menyanyi sebab nak penonton merasai sendiri suasana balik kampung,” katanya. Pada masa sama, Amirul berkata dia juga sememangnya suka melakukan sesuatu kelainan dalam penyampaian laporan beritanya. “Biasalah nak tarik orang ramai tengok berita ni bukan perkara mudah. Salah satu cara untuk mendekati mereka melalui cara santai.
“Bila santai ada hiburan jadi dapatlah tarik orang muda untuk tengok berita tapi bergantung juga kepada sesuatu laporan itu. “Setiap pembawaan cerita itu selalunya saya akan letak satu karakter. Saya bukan sekadar nak beri laporan tetapi juga bercerita kisah sebenar kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Amirul berkata dia tidak marah dengan netizen yang menjadikan gelagatnya itu sebagai bahan gurauan di media sosial. “Saya tak terasa hati pun. Bila tengok semula video tu saya sendiri pun gelak-gelak. Memang kelakar tapi malu jugalah sebenarnya.
“Sejujurnya saya bukan sekadar mahu diingati dengan perkara melucukan tapi mahu dikenali melalui identiti tersendiri sebagaimana idola saya seperti Datuk Karam Singh Walia, Puspawati Ramaloo dan Izwan Azir Saleh,” katanya.
Sumber : MSTAR ONLINE