“SETAKAT ini belum lagi. Isteri saya belum mengandung seperti yang didakwa segelintir pihak,” kata penyanyi Zamani Ibrahim.
Zamani, 48, berkata, peminat menyangka isterinya, Nur Juliana Abdul Rani, 36, mengandung apabila melihat perubahan fizikalnya yang semakin berisi. “Mungkin badannya nampak berisi kerana senang hati bergelar isteri.
“Apapun seperti pasangan suami isteri lain, kami juga mempunyai keinginan untuk ada zuriat sendiri,” katanya. Pasangan yang sudah bercinta selama 14 tahun itu berkahwin dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 22 September lalu.
Mereka kemudiannya mengerjakan umrah bersama beberapa anggota keluarga pada 30 Oktober lalu dan berada di sana selama 12 hari. Diminta bercerita pengalamannya di Tanah Suci, penyanyi kumpulan Slam itu mengakui ia satu pengalaman yang indah.
“Alhamdulillah nampak memang ada perubahan. Satu yang paling ketara, lepas kahwin saya macam rasa resah dan cepat nak marah. “Tak tahulah kenapa. Namun apabila di Makkah semua perasaan ini dah tiada dan saya rasa lega. Tak dinafikan masa nak pergi, pelbagai perasaan bersarang dalam fikiran,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian merujuk dengan ustaz dan mereka kata kena bersangka baik serta ketepikan fikiran negatif. “Kalau ada rezeki lebih, saya nak ke sana lagi tapi alang-alang itu biarlah buat haji terus,” katanya.
Mengulas mengenai majlis resepsi perkahwinannya seperti yang dicanangkan sebelum ini, Zamani berkata, dia memilih mengadakannya pada 1 Januari tahun depan. “Terlalu suntuk untuk kami buat resepsi dalam tahun ini kerana saya terikat dengan pelbagai komitmen.
“Jadi, 1 Januari adalah tarikh paling sesuai untuk mengadakannya. Kami pun dah mula buat persiapan sedikit demi sedikit. “Apapun saya terpaksa rahsiakan dahulu lokasi majlis ini dan akan menghebahkan apabila tiba masanya,” katanya yang ditemui ketika menjayakan Konsert Rosli Mohalim The Legend 40 Tahun di Panggung Asia Gombak malam tadi.
Sumber : HMETRO ONLINE