Baru 2 hari masuk sekolah, ibu hairan tengok duit belanja anak ‘beranak’… rupa-rupanya hasil jual belalang

BAGI ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah buat pertama kali, pasti banyak perkara yang berlegar di kepala mereka.

Sudah menjadi kelaziman, ada murid yang menangis kerana enggan ditinggalkan ibu bapa, tidak kurang juga ragam-ragam lain yang ditunjukkan mereka dan cukup menghiburkan hati.

Namun, lain pula ceritanya dengan murid Tahun Satu di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah ini apabila jumlah wang belanja yang dibawa pulang pada hari kedua persekolahan menimbulkan rasa hairan ibunya, Hasmi Shamsuddin.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, anaknya, Qaiser Rifqi Martin dibekalkan wang belanja berjumlah RM2 untuk sekolah agama sesi petang, namun jumlah itu bertambah sekali ganda selepas dia pulang ke rumah.

“Itu semasa hari kedua persekolahan. Saya terkejut dia bawa duit balik rumah. Sekolah sesi pagi dia tak bawa duit sebab saya bekalkan dia makanan dari rumah.

Posting Hasmi mengenai cahaya mata sulungnya itu di Facebook.

“Sesi petang saya tak dapat bekalkan dia makanan sebab saya bekerja. Pada hari tu, saya bagi belanja RM2, dia bawa balik RM4.

“Saya terkejut juga dia bawa duit balik rumah. Ingat dia ambil duit kawan-kawan. Bila tanya kenapa duit banyak, dia kata tangkap belalang lepas tu jual pada kawan,” ujarnya kepada mStar.

Menurut Hasmi, Qaiser yang juga cahaya mata sulungnya cukup teruja untuk ke sekolah dan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk bersiap.

Tambahnya, ini juga merupakan pengalaman pertamanya berhadapan dengan ragam anak yang baru memulakan persekolahan.

 

Saya post di Facebook pun sebab nak jadikan kenangan dan untuk abah dia tengok post saya bila balik belayar nanti.
HASMI SHAMSUDDIN
IBU

Malah, dia mengakui sengaja berkongsi kisah menghiburkan itu di Facebook untuk dijadikan sebagai kenangan pada masa depan.

“Sebelum ni saya tak ada pengalaman dengan ragam anak masuk Tahun Satu. Dia tak menangis ke sekolah. Alhamdulillah, mula sekolah ni dia senang bangun, sebab teruja nak pergi sekolah baru.

“Ibu mana yang tak seronok bila anaknya rajin pergi sekolah? Pukul 5.30 pagi dah bangun, sebab pukul 6 pagi kami dah keluar pergi sekolah.

“Saya post di Facebook pun sebab nak jadikan kenangan dan untuk abah dia tengok post saya bila balik berlayar nanti.

Hasmi bersama dua anaknya.

“Sebab di laut line tak kuat. Nak call pun tak dapat. Saya abadikan cerita ragam anak sekolah tu di Facebook untuk ayah dia baca. Ayah dia pun dah tahu, dia buka Facebook hari Sabtu hari tu,” ujarnya.

Selain Qaiser, Hasmi mempunyai seorang lagi cahaya mata berusia tiga tahun hasil perkongsian hidup dengan suami, Martin Tamrin yang juga seorang kelasi kapal.

Sehingga kini, posting Hasmi mengenai kisah anaknya menerima hampir 4,000 perkongsian di Facebook.

Malah, ramai netizen mengakui terhibur dengan kisah itu, tak kurang juga yang berkongsi kisah anak mereka yang pertama kali mendaftar untuk sesi persekolahan tahun ini.

Potret kenangan Hasmi sekeluarga.

Selain itu, netizen turut memuji sifat suka menabung Qaiser sepertimana yang dikongsikan oleh ibunya dalam posting tular itu.

Dedah ibunya, Qaiser meminta tabung miliknya untuk diisi dengan wang yang diperoleh hasil menjual belalang di sekolah.

“Baguslah tu kak. Nilai keusahawanan dia tinggi. Semoga menjadi usahawan yang berjaya dik.

“Susah juga nak tangkap belalang sebenarnya. Hanya yang mahir tahu caranya. Good job adik.

“Baguslah tu anak pandai cari duit. Lepas tu pandai simpan duit. Itu tandanya anak itu pintar,” tulis beberapa netizen.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: MSTAR