HANYA RM666. Itulah jumlah pendapatan bersih diterima penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers atau BPR, Joey selepas menjayakan Konsert Jelajah 1,000 Tahun Takkan Mungkin BPR di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru pada 28 Disember lalu.
Joey, 56, atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 56, memuat naik foto penyata bayaran yang diterimanya di Facebook, semalam.
Difahamkan, anggota lain kumpulan yang meledak dengan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin, Aku Hanya Serangga, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata pada era 1980-an dan 1990-an itu turut menerima jumlah bayaran lebih kurang sama.
Menurut Joey, dia menerima bayaran sebanyak RM1,000, tetapi selepas ditolak kos penginapan hotel dan lain-lain, dia hanya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM666.
“Saya sengaja muat naik penyata bayaran itu di Facebook supaya orang faham keadaan sebenar industri muzik sekarang. Itulah sebabnya ramai pemuzik main ‘busking’. Sejak awal lagi saya jangka kutipan tiket konsert ini rendah.
“Banyak perkara di luar jangkaan berlaku seperti penginapan yang mulanya ada penaja, tapi berlaku masalah hingga akhirnya kami terpaksa cari hotel murah berdekatan lokasi konsert,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, memandangkan lokasi konsert yang kecil, tiket hanya dijual dengan harga murah.
“Kami juga kena bayar kumpulan undangan. Itu pun kami menggunakan sistem bunyi murah. Kalau tidak, mungkin kami tak bergaji langsung.
“Apapun kami buat konsert ini kerana nak kekalkan nama BPR dan bukan kerana cari duit sangat. Saya selalu cakap hidup segan, mati tak mahu. Lagipun BPR bukan orang kaya. Dapat pendapatan seribu dua pun di kira banyak juga,” katanya.
Joey menganggap konsert terbabit lebih kepada membantu pemain dram mereka, Enal yang mengalami masalah jantung selain menghiburkan peminat setia BPR.
“Saya simpati dengan Enal. Dia tinggal di tingkat atas pangsapuri yang tiada kemudahan lif. Ramai pemain dram handalan tawar diri untuk menggantikan tempatnya tapi kami menolak kerana tak mampu nak bayar.
“Kami bersyukur kerana kutipan derma untuk Enal yang dibuat ketika konsert itu sebanyak RM1,005. Terima kasih buat rockers Johor yang baik hati,” katanya.
Enal atau nama sebenarnya Raja Zainal Abidin Raja Hasnan, 58, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) H0spital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh akibat ser4ngan jantung, Disember lalu.
Joey berkata, kos ambulans untuk membawanya pulang ke Johor mencecah lebih RM3,000.
“Mujur ada seorang rakan bantu sediakan ambulans yang murah,” katanya.
Selain Joey dan Enal, BPR turut dianggotai Awang (gitar) dan Yem Bai (bass).
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: HM via Catatan Terakhir