“SAYA sendiri belum dapat buat keputusan muktamad kerana anak (Noor Areesya Redza, 13), masih berbelah bahagi untuk belajar di sekolah berasrama penuh (SBP),” kata Redzuan Mansor.
Beliau mengulas isu membabitkan anaknya, Noor Areesya Redza, 13, yang menolak tawaran belajar di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) tahun ini kerana tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya.
Berikutan itu, remaja itu kini menuntut di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi Senawang, Negeri Sembilan.
Anak bongsu daripada empat beradik itu sebelum ini mendapat keputusan cemerlang 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Redzuan yang bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan berkata, dia cuba memujuk anaknya namun keputusan terletak sepenuhnya pada Aressya.
Katanya, ramai pihak termasuk isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, hadir ke rumahnya di Taman Desa Exora Senawang, hari ini, bagi memberikan sokongan terhadap anaknya itu.
“Malah, beberapa guru anaknya ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Senawang 3, turut hadir dan menghubungi saya bertanyakan perkembangan Noor Areesya.
“Mereka tampil memberikan nasihat dan sokongan kepada anak saya termasuk sokongan untuk melanjutkan pelajaran di SBP.
“Saya amat hargai atas sokongan dan keprihatinan mereka terhadap kepentingan dan masa depan anak saya itu,” katanya.
Redzuan berkata, dia tidak dapat membuat keputusan mengenai hasrat untuk menghantar anaknya itu meneruskan pelajaran di SBP kerana ia terpulang pada pendirian anaknya sendiri.
Menurutnya, ketika ini Noor Areesya dilihat selesa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi Senawang.
“Situasi itu membuatkan saya tidak boleh membuat keputusan mengenainya pada masa ini walaupun hasrat menghantar anak ke SBP itu sentiasa ada.
“Namun, saya perlu ambil kira keputusan yang dibuat Noor Areesya sendiri sama ada dia sedia berpindah ke SBP atau sebaliknya,” katanya.
Berhubung kesediaan pihak yang menzahirkan hasrat membantu anaknya itu dari segi kewangan, beliau amat menghargai keprihatinan pihak terbabit.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: HM