‘Bantulah, hanya untuk dapatkan buku teks’

SEORANG ibu sebak memikirkan nasib anaknya yang terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di sekolah tanpa pinjaman buku teks.

Rosinah Hussin, 36, berkata, anaknya perempuannya, Dayang Nur Azrina Ad Azlan, 10, meneruskan persekolahan tanpa bantuan pinjaman buku teks berikutan ketiadaan sijil lahir.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu hanya membawa buku latihan dan pensil serta alat belajar lain ke sekolah.

Katanya, anaknya itu meluahkan kepadanya dia sangat sukar belajar tanpa buku teks kerana di situ ada nota penting yang perlu dilihat ketika belajar.

“Ketika dalam kelas, anak saya hanya melihat rakannya menelaah buku teks sambil belajar.

“Anak saya tidak diberikan pinjaman buku teks kerana belum mendapat sijil lahir.

“Saya masih menunggu untuk dipanggil temu duga bagi mendapatkan sijil lahir daftar lewat anak perempuan saya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ROSINAH bersama anaknya di pondok mereka di Kampung TB Ward, Sandakan. FOTO NSTP

Rosinah berkata, proses mendapatkan sijil lahir daftar lewat anaknya sudah pun dikemukakan beberapa tahun lalu dan masih dalam proses.

Katanya, dia difahamkan, pengeluaran sijil lahir itu ditangguhkan sejak hujung tahun lalu.

“Hal ini menyebabkan anak saya tidak mendapat cabutan sijil lahir dan tidak diberikan pinjaman buku teks.

“Kakaknya (Dayang Nur Azliana, 11) ada menerima pinjaman buku teks kerana tiada masalah sijil lahir.

“Perkara ini membuatkan saya bimbang dan saya disarankan untuk membeli sendiri buku teks terbabit sedangkan saya tidak berkemampuan,” katanya.

Rosinah yang juga ibu tunggal dan penerima bantuan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyeru pihak berkaitan menyalurkan bantuan terhadap keluarganya.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 016-9265047.

Pada 2018, Harian Metro pernah menyiarkan kisah kehidupan keluarga berkenaan yang tinggal di sebuah pondok usang di Kampung TB Ward, Sandakan dan hidup dengan berlaukkan garam ketika makan.

Susulan itu, ada pihak muncul mendakwa mahu membantu mendapatkan rumah untuk keluarga berkenaan.

Namun, Rosinah berkata, sehingga hari ini mereka masih tinggal di lokasi sama dan keluarganya masih tidak menerima bantuan rumah seperti dijanjikan, walaupun sudah hampir dua tahun berlalu.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber:  HM