2 Dekad Per1st1wa Menggemparkan Negara
Mungkin ada antara pembaca yang pernah mendengar isu yang berlaku pada tahun 1999 di mana seorang bayi kecil, Mohd Afiq Iqbal hampir hilang harapan untuk meneruskan hidup. Afiq yang baru seketika melihat dunia menjadi ‘bayi paling popular’ kerana namanya yang sering meniti di bibir rakyat Malaysia ketika itu.
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjadi saksi kelahiran seorang bayi pada tahun 1998. Namun, sesuai dengan ketetapan Ilahi, bayi kecil itu dan keluarganya diduga. Bayi itu terkena demam kuning, tetapi bukan demam yang ‘biasa’, perutnya mula membuncit.
“Si ibu tidak berhenti-henti berdoa, ayah juga turut bergundah gulana memikir nasib keluarga. Hopsital ibarat rumah kedua, berulang-alik setiap minggu demi si anak tercinta. Tetapi untuk sembuh, masih tiada tanda. Hanya tangisan yang mengiringi hari mereka.
Kos Pemindahan Hati Yang Memerlukan Wang Yang Banyak
Terbuka hati untuk pergi ke sebuah klinik, doktor tersebut memberitahu bahawa hempedu dan hatinya tersumbat. Lantas Ayah bergegas kembali ke PPUM untuk membuat pengesahan dan diberitahu bahawa bayinya itu perlu menjalani pemindahan hati namun proses itu hanya boleh dilakukan di Singapura dan Australia. Keluarga itu pulang ke rumah, mustahil mereka boleh ‘pergi’ sejauh itu kerana ia tentu memerlukan kos yang banyak.
Tidak lama selepas itu, ada seorang lelaki berbangsa Cina yang pergi berjumpa keluarga tersebut dan memberitahu bahawa proses pemindahan hati boleh dilakukan di Malaysia cuma ia tidak diketahui oleh umum. Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) menjadi pilihan mereka, SJMC menjadi antara pusat perubatan awal yang menjalankan proses pemindahan hati di Malaysia. Doktor Dato KC. Tan yang merupakan Pakar Hati dari Singapura menjelaskan pemindahan itu akan memerlukan kos sebanyak RM 300,000.
Memohon Bantuan Namun Tidak Dihiraukan
Lalu keluarga tadi cuba memohon bantuan kewangan dari syarikat-syarikat swasta namun tidak langsung diendahkan. Nasib bayi tadi bergantung sepenuhnya kepada keluarganya sahaja. Namun tidak semudah itu mereka berputus asa. Benarlah orang kata, jangan sesekali berputus asa kerana kejayaan yang sebenar akan tiba sesuai dengan masanya.
Seorang wartawan dari stesen televisyen telah datang berjumpa dengan keluarga itu dan kes berkenaan disiarkan dalam sebuah rancangan pada tahun 1999. Berkat usaha itu, dana mula dikumpulkan sedikit demi sedikit. Lebih mengembirakan apabila rancangan itu disiarkan kali kedua, ada beberapa orang insan mulia yang sudi menderma hati mereka untuk bayi bertuah tersebut.
Wujud Insan Yang Sudi Berkorban Demi Orang Lain
Wan Mohd Hafizam, anak muda berusia 23 tahun yang berhati waja sudi untuk menjadi penderma hati pertama di Malaysia. Namanya menjadi bualan seantero Asia terutamanya Singapura dan Indonesia. Walaupun beliau pernah dimaklumkan tentang risiko yang bakal dihadapinya pada masa depan, itu tidak pernah menjadi penghalang kepada keputusannya. Baginya, kebaikan akan berlaku sekiranya niat beliau untuk berkorban adalah ikhlas.
Orang awam dan pihak media terutamanya tidak henti-henti ‘menyalurkan publisiti’ supaya anak kecil ini mendapat bantuan yang selayaknya. Dan dengan publisiti itulah, bantuan kewangan ‘datang’ mencurah-curah. Dari pihak swasta mahupun orang perseorangan semuanya bergandingan memberi dana untuk mempermudahkan urusan ini.
3 April 1999 (Sabtu) adalah tarikh keramat apabila pihak hospital mengumumkan akan melakukan proses pemindahan hati yang bakal menjadi penentuan dua nyawa. Tarikh itu telah ditunda beberapa kali sebelumnya kerana kesihatan bayi yang tidak mengizinkan. Berkat sokongan dan doa daripada semua, proses pemindahan hati itu dijalankan dengan jayanya.
“Terima Kasih Pak Anjang Kerana Beri Saya Secebis Hati Untuk Saya Meneruskan Kehidupan Seperti Orang Biasa”
Kini sudah 20 tahun berlalu, namun peristiwa itu ternyata masih segar dalam ingatan Mohd Afiq Iqmal Mohd Zaini tentang siapa yang telah membantunya untuk terus hidup sehingga kini. Afiq menulis di laman Facebooknya :
Assalamualaikum makcik, akak dan pakcik semua.
3/4/1999 pada pukul 7.00 malam, hari ni adalah hari penuh sejarah bagi saya kerana hari ni saya menjalani liver transplant di subang jaya medical center (SJMC). Dah 20 tahun hati (liver) Wan Mohd Hafizam (penderma hati ) berada dalam perut saya. Terima Kasih Wan Mohd Hafizam (Pak Anjang) kerana memberi saya secebis hati (liver) untuk saya meneruskan kehidupan seperti org biasa. Thank youjuga keluarga belah mama saya kerana menjaga saya waktu saya sakit sampai sekarang. Tak lupa juga makcik, akak dan pakcik yang mendoakan saya saat saya menjalani liver transplant. Terima Kasih mendoakan saya ye.
Wan Mohd Hafizam (43) kini sudah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan memegang jawatan sebagai Pengarah Briged Ekuin APM. Beliau turut membalas hantaran berkenaan dengan mengatakan :
“Subhanallah. Terima kasih tuan kerana masih mengingati akan peristiwa ni. Semoga anak anak syurga dipermudahkan urusan.”
Kadang-kadang kitap tidak sedar bahawa setiap tindakan dan perbuatan kita walaupun sekecil zarah akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan seseorang. Ikhlaskan hati untuk berkorban kerana setiap pengorbanan akan mendapat kebaikan daripada-NYA.
Rujukan :
1] MyMetro, 31 Mei 2018, dipetik dari Rezeki Lancar Berkat Derma Hati, pada 4 April 2019
Sumber : Afiq Iqmal via Siakap keli
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon