Pernah Dihasut Keluar Islam. Ini Tindakan Mark Adam

Penyanyi Mark Adam mengakui pernah dipersoal dan dihasut oleh individu tertentu untuk keluar dari agama Islam.

Kata Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam, 40, kenalannya di kampungnya di Filipina sering bertanyakan sebab dia memeluk Islam hampir 17 tahun lalu.

“Apabila sudah masuk Islam pernah juga saya dihasut keluar Islam, antaranya kawan-kawan saya di kampung.

“Mereka keliru, agama apakah ini, kenapa masuk? Baliklah…,” cerita Mark yang asalnya beragama Kristian.

Pernah Ajak Mak

Mark juga mengakui pernah mengajak individu lain untuk memeluk agama Islam terutama ibunya, Florenda Macaraig Echivarre.

“Kawan-kawan, keluarga misalnya emak saya, pernah juga saya ajak untuk masuk Islam.

“Tetapi mak saya contohnya akan ada banyak pertanyaan, jadi saya tunggu terlebih dahulu,” kongsinya.

Pendedahan itu dikongsikan Mark dalam sesi soal jawab Pernah atau Tak Pernah yang dikongsikan di Instagram Salam Muslim.

Mark Adam berdoa ibu peluk Islam

PENYANYI Mark Adam, 40, berdoa dan mengimpikan supaya ibunya, Florenda Macaraig Echivarre, 60, memeluk Islam, satu hari nanti.

Mark atau nama sebenarnya Mark Adam Fikri Abdullah berkata, sejak kebelakangan ini ibunya sering bertanyakan mengenai Islam selepas suka melihat tingkah laku Mark selepas memeluk Islam.

“Ibu amat menyukai sikap saya sekarang dan dia beritahu banyak perubahan positif terhadap saya selepas memeluk Islam.

“Saya tidak akan memaksa ibu menukar agama tetapi jika dia memeluk Islam, saya manusia pertama yang gembira dan bersyukur,” katanya.

Sehubungan itu, Mark bercerita kepada ibunya mengenai kebaikan dan keindahan Islam.

“Apabila saya memeluk Islam pada 2003, saya menikmati ketenangan dan perubahan. Antara yang dipelajari adalah menghormati orang dan agama lain. Saya percaya Islam agama yang benar dan berdoa ibu mengikuti jejak langkah saya,” katanya.

Menurut Mark, Islam juga mengajarnya persediaan ketika hidup dan selepas meninggal dunia.

“Saya bersyukur kerana isteri (Nor Azah Redzuan) dan bapa mentua banyak membantu mengenai ajaran Islam. Setakat ini saya sudah mempelajari solat termasuk berpuasa penuh (ketika Ramadan) sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurut Mark, dia masih mempelajari dan mahu memantapkan bacaan al-Quran.

“Selain keluarga, rakan selebriti seperti Shuib (Sepah) turut membantu dalam agama dan saya ketika ini mementingkan solat berjemaah,” katanya.

Lebih penting baginya, dia mengenali Rasulullah SAW selepas memeluk Islam biarpun sebelum ini hanya mendengar mengenai Pesuruh Allah itu.

“Impian saya adalah untuk terus kekal dan mendalami agama ini secara menyeluruh,” katanya.

Mark menerusi Instagram miliknya sebelum ini memuat naik video dan menghadiahkan ibunya sebuah rumah yang diimpikan sejak 1996.

Dalam perkembangan sama, Mark muncul bersama pengarah Michael Ang dalam rancangan Mike & Mark Diari Mualaf.

Rancangan itu disiarkan setiap hari Khamis pukul 9 malam di saluran Naura 125.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Duniadanakhirat