Bekas kekasih jodoh Bella Nazari

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon dan penyanyi, Bella Nazari, 33, bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Iqbal Kamarudin, 37, di sebuah hotel di Perlis pada jam 11 pagi, semalam.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Nazari Ahmad. Pada majlis berkenaan, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,000, selain tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Bella atau nama sebenarnya, Mas Nabiella Nazari memanjat kesyukuran hari bahagianya berjalan lancar. Namun, pada masa yang sama, dia masih tidak percaya bertemu jodoh dengan anak seni yang turut terbabit dalam dunia muzik.

“Sudah nama pun jodoh. Dahulu bukan main nak elak berkahwin dengan lelaki sealiran seni. Akhirnya yang tak mahu itu juga datang merapati.

“Hingga kini, saya masih tak percaya semua ini terjadi. Dalam hati ingat akan kahwin dengan lelaki berusia, jadi isteri ketiga atau keempat.

“Maklumlah usia saya mencecah 33 tahun baru bertemu jodoh,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Oh Cintaku itu berkata, dia mengenali suaminya yang juga duda anak satu ketika mengikuti pengajian di sebuah universiti.

“Dia adalah bekas kekasih saya. Tidak sangka selepas 10 tahun membawa haluan masing-masing, kami bertemu semula.

“Bakal suami bekerja di bahagian orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kami kembali serius sejak hampir dua tahun lalu,” katanya.

 

Mengulas mengenai Iqbal, Bella berkata, dia terpikat dengan sifat bertanggungjawab jejaka itu, malah suaminya pandai mengambil hati.

“Dia sentiasa berusaha menggembirakan saya. Setiap kali berdepan tekanan, dia akan berusaha membuat saya kembali tersenyum.

“Suami juga sangat bertanggungjawab dan ini antara faktor mengapa hati saya terbuka menerimanya sebagai suami,” katanya.

Pasangan ini bertunang pada 26 Oktober tahun lalu. Malam ini, pasangan ini akan diraikan di Dewan Mes Pegawai Kanan PDRM, Kangar Perlis.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH