Terkesan tempoh PKP, nelayan tua hanya mampu makan nasi berlaukkan garam

“JIKA tiada lauk, hanya makan nasi dengan garam atau roti dengan air kosong.”

Itulah makanan harian seorang warga emas yang hidup sebatang kara selepas tidak lagi mampu berkerja sebagai nelayan berikutan masalah kesihatan dan faktor usia.

Lebih malang, Saat Tapah, 69, kini hidup sendirian di rumah pusaka usang di Kampung Nelayan, Kuala Kurau selepas berpisah dengan isteri dan anak.

Saat berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai nelayan dengan menumpang bot rakan-rakannya namun sejak dua tahun lalu faktor usia dan masalah kesihatan yang dialami, menghalangnya mencari rezeki di lautan.

“Lepas tak turun ke laut, saya makan apa yang ada. Sekampit beras saya boleh bertahan selama sebulan, jika tiada lauk, saya hanya makan nasi dengan garam sahaja.

“Bila duit tak ada, saya pinjam RM5 daripada rakan untuk membeli roti.

“Dalam dua tiga hari ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya hanya makan tiga keping roti pada waktu pagi, petang dan malam dicicah air kosong,” katanya.

Saat ditemui media selepas menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan makanan yang diserah secara peribadi oleh Pengerusi Bersatu Parit Buntar, Md Nayan Salleh, hari ini.

Menurutnya, dia pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang kini berusia lingkungan 30-an.

Bagaimanapun, katanya, anaknya menghilangkan diri ketika berusia 16 tahun dan kini difahamkan berada di Ipoh.

Katanya, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan bulanan dari mana-mana pihak dan pernah mengisi borang namun tiada maklum balas.

Dalam pada itu anak saudaranya yang enggan nama disiar berkata, permohonan bantuan bapa saudara pernah dikemukakan beberapa kali kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah namun tiada maklum balas.

Menurutnya, pemimpin setempat juga sedia maklum perkara ini dan turut pernah membantu bapa saudaranya mengisi dan menghantar beberapa borang berkaitan bagi mendapatkan bantuan wajar, namun masih juga tiada sebarang keputusan.

“Diakui kehidupan bapa saudara agak susah selepas bercerai, namun kami tidak mengabaikannya, jika ada makanan lebih kami hantar dan jika s4kit kami akan merawatnya,” katanya.

Ruang tidur rumah kediaman Saat yang usang

 

Sementara itu, Md Nayan berkata, dia amat tersentuh melihat kehidupan warga emas itu dan tampil memberi sumbangan peribadi berbentuk wang tunai dan kelengkapan makanan.

Menurutnya, beliau akan cuba membantunya mendapatkan bantuan wajar.

“Dalam tempoh 14 hari arahan PKP ini, bukan lagi masa untuk menyalahkan sesiapa, kebajikan rakyat perlu diutamakan.

“Insya Allah secara peribadi saya bersedia 24 jam untuk membantu golongan sebegini dan sedia untuk turun padang meninjau dan membantu golongan memerlukan,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: cempedakcheese