Pelakon Faezah Elai berharap agar netizen dapat berhenti daripada terus mempersoalkan perbuatan dan amal kebajikan yang dilakukannya selepas ada pihak merasakan ia tidak pernah dilihat dicanang di media sosial.
Faezah atau nama sebenarnya, Noor Faezah Md Elai, 38, berkata, dirinya bukanlah seorang yang suka menghebahkan amalan baik di media sosial untuk tatapan umum.
“Kali ini saya akan buat anda mengerti agar sebahagian daripada kamu akan berhenti bertanyakan kepada saya mengenai, ‘tak beri bantuan ke? Awak tak buat charity ke? Tak solat hajat ke? Tak baca al-Quran ke’?
“Tak semua orang buat amal jariah suka kongsi dalam media sosial,” tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Bahkan, katanya, sewaktu dia melakukan penghijrahan dengan mengenakan hijab, dia sendiri tidak pernah berkongsi membicarakan hal tersebut kepada umum.
“Ibadahku? Masa mula-mula penghijrahan dulu, tak pernah saya cerita atau kongsi tentang itu sampai hari ini sebab penghijrahan itu kerana Allah.
“Tapi itu tak bermakna orang yang kongsi amalannya itu jahat. Terpulang pada niat, macam sesetengah orang, mungkin niat dia kongsi supaya orang lain juga dapat melakukan benda yang sama, itu cara dia berdakwah.
“Tapi disebabkan akak ni masih jahil, takut hanyut dengan puji-pujian dari niat kerana Allah dia tukar jadi riak so sia-sia amalan. Faham tak?,” katanya.
Jelas Faezah lagi, dia juga berharap agar orang ramai dapat faham dan menghormati dengan pendirian hidupnya itu.
“Tolong hormat privasi saya sebagaimana saya menghormati anda semua. Tak ada apa dah yang akak nak kejar.
“Saya mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dengan anak-anak. Apa yang saya mahukan kini hanyalah istiqamah,” ujarnya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!