Awal pagi itu seperti yang direncana, kelibat personaliti popular pada era 90an ini sudah kelihatan di perkarangan Kompleks Karangkraf. Bertemankan tas tangan mewah Louis Vuitton di genggaman bersama padanan celana denim dan blaus bercorak polka dot biru muda serta selendang Arzu berona senada, Mas Anizan hadir dalam gaya yang cukup versatil.
Dari kejauhan terlihat susuk tubuh bekas penyanyi dan aktres ini persis seperti gadis perawan. Senyuman manis yang terukir tatkala menyambut salam penulis menampakkan sisi mesra pemilik nama sebenar Mas Anizan Mohd Shahid.
Sungguhpun sudah mencecah usia 40an kecantikan Mas Anizan masih terserlah. Kejelitaan dan kemulusan kulit beliau bukan hanya mencuri perhatian penulis malah turut diakui jurusolek, Tiar Zainal yang menata rias wajah Mas sepanjang sesi fotografi untuk penghias muka depan Nona November 2015 itu berlangsung.
“Alhamdulillah, syukur di atas kurniaan dan pinjaman yang telah diberikan. Semua wanita di luar sana pasti turut sama sukakan kepada kecantikan. Begitu juga saya. Tetapi tidaklah terlalu cerewet.
Untuk menjaga kecantikan wajah, saya hanya mengamalkan pemakaian produk kulit yang asas seperti cleanser, toner, serum, moisturizer dan eye cream. Selain itu, tidur yang cukup juga adalah amat penting.
Kecantikan tidak hanya tertumpu kepada penjagaan wajah sebaiknya penjagaan badan juga harus dijadikan keutamaan. Selepas melahirkan Ariana, saya sudah jarang mengunjungi spa kecantikan. Sebaliknya lebih selesa untuk memanjakan diri ala spa di rumah. Aktiviti bersenam pula lebih banyak dilakukan di gym rumah apabila ada masa terluang.”
Dirisik apakah petua tradisi yang diamalkan sehingga ke hari ini, selebriti bermata bundar ini lantas membuka bicara. “Dari segi amalan tradisional, saya mengamalkan minuman jus pegaga yang dibuat sendiri di rumah.
Hanya cuci bersih daun tersebut dan kisarkan menjadi minuman. Tidak perlu tambah gula. Inilah minuman yang saya amalkan dari dahulu lagi selain turut mengambil multi vitamin sebagai suplemen tambahan.”
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, kehebatan Mas Anizan tidak hanya ketika berada di pentas lakonan. Sebaliknya beliau juga cukup berbakat dalam urusan memasak. Sungguhpun mempunyai pembantu rumah, namun seboleh-bolehnya Mas akan menyediakan hidangan untuk keluarga sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Bahkan, memasak juga merupakan antara hobi yang akan dilakukan Mas sekiranya punya masa terluang.
“Sejak berkahwin, saya memang gemar memasak dan suka mencuba pelbagai jenis masakan yang berbeza setiap hari. Kalau ada masa senggang, saya akan baking bersama anak-anak. Masa itu, gamatlah satu dapur. Pernah satu ketika, sajian yang dibuat tidak seperti yang diinginkan. Mungkin kerana kami leka berbual hingga terlupa tentang masakan tersebut.
Selalunya, setiap minggu menjadi rutin kami anak-beranak untuk keluar bersama. Tidak kiralah sama ada pergi menonton wayang atau beriadah asalkan aktiviti kekeluargaan itu ada. Paling tidak pun, saya akan luangkan masa bersama adik-beradik dan kenalan rapat serta anak-anak,” cerita Mas yang mahir menyediakan masakan asam pedas dan bubur lambuk kesukaan suami tercinta.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Nona