Sudah-sudahlah bandingkan saya – Nabila Razali

KUALA LUMPUR: Tampil dengan single Peluang Kedua, Nabila Razali meminta peminat usah membandingkan vokal dirinya dengan penyanyi lain.

Nabila, 27, memberitahu, setiap kali single baharu dilancarkan, masih ada peminat membuat perbandingan mengenai keupayaan vokalnya sehingga dia terasa.

“Bagi saya, setiap penyanyi ada kelebihan sendiri… Sama juga dengan saya. Kita tidak boleh buat perbandingan kerana keupayaan setiap penyanyi tidak sama.

“Daripada single Katakan Saja, Cemburu, Pematah Hati dan Vroom Vroom, saya percaya orang sudah boleh menilai kebolehan saya. Jadi kenapa masih hendak membuat perbandingan?

“Saya percaya pendengar juga sudah tahu, saya tidak boleh mencapai nota tinggi… Inilah Nabila Razali.

“Saya sudah buat yang terbaik melalui single Peluang Kedua. Saya harap peminat boleh terima dengan baik,” katanya kepada BH Online.

Nabila turut meluahkan rasa kesal apabila ada peminat mendakwa nyanyian pencipta lagu terbabit, Hael Husaini, ketika mendendangkan Peluang Kedua, adalah lebih baik.

Namun, Nabila sangat gembira apabila video muzik lirik Peluang Kedua mencatatkan tiga juta tontonan dalam tempoh seminggu dimuat naik.

“Sebelum ini, lagu Pematah Hati mencatat sejuta tontonan sehari. Single Peluang Kedua mencatat sejarah sendiri apabila mencatat tiga juta tontonan dalam tempoh seminggu.

“Penerimaan lagu ini boleh saya katakan luar biasa. Belum ada klip video rasmi, namun, sambutan terhadap single ini di luar jangkaan. Malah, ketika lagu ini belum dilancarkan, ramai yang membuat ‘cover’ pada bahagian korus.

“Saya dan syarikat pengurusan melancarkan lagu ini lebih awal disebabkan permintaan memberangsangkan. Terima kasih pada semua yang memberi sokongan,” katanya.

Mengikut perancangan, Peluang Kedua mahu dilancarkan selepas Aidilfitri dan apabila berakhirnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berterima kasih kepada Hael dan pihak pengurusan, Nabila percaya kejayaan Peluang Kedua adalah hasil kerja keras semua tenaga penggerak.

“Tanpa kumpulan kerja yang baik, saya fikir ini takkan terjadi. Alhamdulillah, saya ada kumpulan kerja yang bagus dan membantu saya menerbitkan lagu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila mewujudkan akaun YouTube sendiri iaitu Nabila Razali Entertainment.

Melalui platform itu, Nabila tidak sekadar berkongsi lagu-lagu, sebaliknya aktiviti harian untuk tatapan peminat.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH Online