Adik Faris Izhar Mat Jusoh ni bukan ‘biasa-biasa’. Pelajar tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, Langkawi ini menjadi tular dan popular apabila dia boleh berbual fasih dalam bahasa Arab.
Video perbualan antara pelajar asal Langkawi ini, dirakam oleh seorang pengguna twitter, munirdinie ketika berkunjung ke Fish Farm, Langkawi baru-baru ini. Kefasihan Faris bertutur dalam bahasa Arab, turut menarik perhatian beberapa pengunjung ketika itu.
Tidak terkecuali pelancong Arab yang bersama Faris. Mereka terkejut dan teruja, apabila ada anak jati Langkawi yang boleh bercakap dalam bahasa Ibunda mereka.
Faris Izhar Mat Jusoh, anak bongsu daripada enam beradik ini bukan sahaja fasih berbahasa Arab, bahkan dia juga mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.
“Saya ambil masa setahun untuk betul-betul fasih,”katanya kepada GPSBestari.
Tambah Faris, dia tidak mengikuti kelas khas untuk menguasai dua bahasa ini. Sebaliknya, dia hanya belajar sendiri melalui internet, selain mendengar, hafal, fokus dan belajar daripada pelancong yang ditemuinya.
“Bukan mudah nak fasih. Macam saya, saya tengok macam mana orang Arab bercakap.
“Sebelum tahu bahasa Arab, saya hafal dan cakap dalam bahasa Inggeris dulu. Setiap kali bercakap dengan pelancong, dan bagi ikan makan, saya akan cakap dalam bahasa Inggeris.
“Selepas tu barulah saya cuba belajar cakap bahasa Arab. Memanglah susah, tapi kalau dah minat semua tu akan jadi mudah,”jelas Faris yang berazam untuk kuasai lebih banyak bahasa lain lagi.
Adik Faris yang bercita-cita ingin menjadi seorang askar ini, bekerja di Fish Farm Langkawi selepas tamat waktu persekolahan. Bidang kerjanya itu membolehkan Faris mengenali semua jenis-jenis ikan, selain berpeluang bertemu dengan ramai pelancong asing.
“Saya ‘kerja buat show, show tunjuk ikan’ di Fish Farm. Bermula hari Ahad sehingga hari Khamis. Selepas habis sekolah saya akan ke Fish Farm, mula pukul 2.00 petang hinggalah 6.30 petang.
“Keluarga tahu saya bekerja, lagipun hobi saya adalah bantu keluarga. Ayah saya dah meninggal, emak pula tak kerja. Tiada masalah, tidak ganggu masa saya di sekolah pun,”ujarnya.
Perbualan santai Faris bersama pasangan pelancong Arab tersebut turut mendapat perhatian Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil.
“Adik ini bagus, mempunyai kemahiran bahasa yang baik. Menerusi perbualan tersebut, Adik Faris bagi tahu ikan tak nak makan sebab mungkin tidur, mungkin dah kenyang atau mungkin juga tak selesa sebab sakit…”
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber Gambar: Milik peribadi Faris Izhar Mat Jusoh & Video: sinarkongsi
Sumber artikel: Gpsbestari via @MenujuKebenaran