KUALA LUMPUR: Pengarah teater komedi ser4m, Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman menjelaskan tindakan pelakon dan kru membangkitkan isu dakwaan bayaran tertunggak bukan untuk mengaibkan sesiapa.
Sebaliknya, Khir berkata, selain menuntut hak, langkah itu bertujuan memberi kesedaran kepada pihak terbabit supaya lebih bertanggungjawab demi kebaikan industri.
“Kalau boleh, kami mahu perkara ini diselesaikan antara kami saja tanpa membabitkan orang luar.
“Selain mahu menjaga air mukanya, kami juga mahu menjaga aib kami. Soal tidak mendapat bayaran bukanlah sesuatu yang seronok untuk dijaja.
“Bagaimanapun, apabila dia terlebih dulu bercerita kepada media, kami tiada pilihan, selain tampil bersuara mempertahankan hak.
“Kami bertindak demikian kerana mahu memberi kesedaran kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang demi kebaikan industri,” katanya kepada BH Online.
Sejak minggu lalu, isu bayaran pelakon dan kru teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya (IB), Februari lalu, hangat diperkatakan apabila seorang demi seorang tampil bersuara.
Mereka mendakwa penerbit, Syarikat Ogy Ventures & Network milik pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud, belum melunaskan baki bayaran.
Fauziah atau mesra disapa Ogy bagaimanapun dilaporkan menjelaskan, semua bayaran tertunggak akan dilangsaikan seperti dijanjikan.
Khir mendakwa pernah dimaklumkan beberapa pihak lain melalui pengalaman sama ketika bekerjasama dengan pelakon dan pengarah terkenal itu.
“Apabila mendengar cerita sebegitu, ditambah dengan janji melunaskan baki hutang pada pertengahan Mac lalu tetapi tidak ditunaikan, sedikit sebanyak menerbitkan kerisauan kepada kami.
“Perbuatan seperti itu bagi saya harus dibendung. Kita tidak mahu ia menjadi tabiat, sekali gus menyusahkan pihak lain pada masa akan datang,” katanya.
Khir berkata, tuntutan itu dibuat sebagai suatu peringatan kepada semua penerbit supaya sentiasa mengukur baju di badan sendiri dalam setiap perkara dilakukan.
“Saya juga ada cita-cita mementaskan teater. Tetapi saya tahu projek itu memerlvk4n kos tinggi dan saya tidak mampu. Hendak mengharapkan duit orang pun tidak boleh juga,” kata pelakon filem Rock 4 : Rockers Never Dai ini.
Mengulas janji penganjur yang mendakwa tidak akan melarikan diri, Khir atau nama penuh, Khairulizam Abdul Rahman mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Dia boleh cakap apa saja, tidak akan lari dan tetap akan bayar. Kita tengok saja nanti.
“Namun, kami tetap tidak berdiam diri dan akan sentiasa menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini,” katanya.
Bagaimanapun, Khir meminta pelakon menggunakan saluran yang betul dalam meluahkan perasaan supaya tindakan dibuat boleh dijadikan bahan bukti.
“Kita juga kena menjaga bahasa apabila menulis di media sosial.
“Kalau boleh, kita tidak mahu perkara ini membabitkan undang-undang. Namun, jika dia terus mendiamkan diri, berkeras dan tidak menunaikan janji dilafazkan, jalan akhir terpaksalah kami bawa perkara ini ke muka pengadilan,” tegas aktor berusia 48 tahun ini.
Terdahulu, menerusi ciapan di akaun Twitter, Khir berkata, dia masih bersikap rasional dan sedang cuba menahan diri daripada membincangkan mengenai isu berkenaan di media sosial.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : BH Online