Secantik Ibu Mertuanya, Datin Maria Arshad. SHIERA AL-KHAIRED Kini Anggun Bertudung

Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah c0v1d-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.

MAKIN SELESA & TENANG

“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.

Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.

Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.

PENAMPILAN & GAYA TUDUNG

Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.

Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.

Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.

Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.

CABARAN

Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.

Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.

HIKMAH PKP

Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.

“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.

Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.

Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.

Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”

ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI

Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.

“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.

Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.

Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”

Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.

“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.

Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.

Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.

Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.

Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.

Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”

Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.

Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Nona