“Alhamdulillah, Order Penuh!” – Syafie Naswip Berniaga Rendang Hijau, Hantar Dua Hari Sebelum Raya

Sememangnya orang yang luar tidak begitu mengetahui kerumitan dan kesusahan yang dilalui oleh anak seni sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Namun sebagai pelakon, Syafie Naswip menganggap ianya satu ujian yang harus ditempuh dengan sabar dan yakin dengan rezeki Tuhan.

“Awal-awal dulu Ayie berniaga Sambal Belacan Goreng untuk menampung perbelanjaan. Bukan sahaja Ayie sebagai pelakon yang terbias dengan PKP, tetapi Ayah dan Mak juga.

“Jadi sebagai anak, Ayie perlu fikirkan jalan untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi untuk mereka juga,” kata Syafie yang membahasakan dirinya Ayie ketika dihubungi Gempak.

Tambah Syafie, permintaan terhadap Sambal Belacan Goreng cukup menggalakkan kerana segala persiapan daripada awal hingga akhir dilakukannya sendiri.

“Tetapi apabila PKP diperketatkan lagi ketika itu sehingga tidak boleh merentasi daerah, dan permintaannya banyak dari Kuala Lumpur, Damansara, Gombak dan sebagainya, membuatkan Ayie terpaksa berhenti seketika.

“Ramai juga pelanggan yang Ayie terpaksa pulangkan kembali duit mereka kerana Ayie sudah tidak boleh bergerak ke sana dan ke sini untuk membuat penghantaran,” beritahu Syafie lagi kepada Gempak.

Walaupun dia cuba untuk mencari mereka yang boleh membuat penghantaran, tetapi kerana dia jauh tinggal di Nilai menyebabkan perbincangan tersebut tidak kesampaian.

“Penat memang penat kerana terpaksa beratur panjang di pasar borong untuk membeli cili, memasak, rebus botol, isi sambal dan rebus botol sekali lagi.

“Namun itulah rezeki Ayie sepanjang PKP dan seletih manapun, Ayie gembira kerana terlalu ramai orang yang membantu dengan membeli Sambal Goreng Belacan yang Ayie jual,” kata Syafie penuh kesyukuran.

Terbaru, Syafie membuka pula pesanan untuk Rendang Daging Hijau yang diusahakan bersama adiknya. Tujuan berniaga rendang hijau juga demi mencari duit tambahan sementara menanti industri kreatif mendapat kebenaran untuk beroperasi kembali.

“Untuk rendang hijau Ayie tak buka banyak order, hanya buat tiga puluh kilo daging sahaja kerana semuanya Ayie dan adik Ayie buat sendiri tanpa bantuan orang lain.

“Alhamdulillah, baru dua hari buka order, dah penuh dan Ayie akan buat penghantaran dua hari dan sehari sebelum Hari Raya nanti supaya boleh dinikm4ti di Aidilfitri, kata Syafie yang gembira dengan sambutan yang diberi.

Menurut Syafie, resepi rendang hijau tersebut merupakan resepi keluarga daripada Paksu yang tinggal di Johor, dan resepi tersebut memang terkenal di kalangan ahli keluarga.

Ditanya Gempak sama ada dia akan menyambung perniagaannya nanti selepas Hari Raya, Syafie berkata sememangnya ada kemungkinan besar.

“Insya-Allah, selepas Hari Raya nanti, Ayie mungkin akan menyambung kembali jualan Sambal Belacan Goreng tersebut kerana hingga sekarang masih ramai yang bertanya.

“Berbalik kepada rendang hijau, buat masa sekarang kuota yang dibuat telah penuh, tetapi kalau masih ada banyak permintaan selepas Hari Raya nanti, mungkin boleh dipertimbangkan,” tambah Syafie.

Menurut Syafie, sebagai anak seni sememangnya agak sukar untuk meneruskan kehidupan sepanjang PKP berlangsung, tetapi memandangkan dia sudah terbiasa berniaga sejak kecil, dia mengambil peluang tersebut untuk membantu kelangsungan hidup.

“Sejak dari kecil Ayie memang suka memasak. Dan Ayie belajar banyak resepi sama ada tradisi atau moden untuk menambah ilmu.

“Jadi, peluang yang ada Ayie gunakan untuk berniaga masakan yang Ayie yakin boleh mendapat sambutan. Macam resepi Sambal Belacan Goreng Ayie dapat daripada pelakon Farah Ahmad,” tambah Syafie lagi.

Syafie bersyukur sepanjang dia menjalankan perniagaan makanan sejak daripada jeruk buah MaBoi lagi, ianya sentiasa mendapat sambutan luar biasa dan juga menerima maklum balas positif daripada mereka yang membelinya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Gempak