IPOH: Pasangan pengguna YouTube sensasi ‘Sugu Pavithra’ menghargai pujian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap mereka, sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai duta perpaduan, malah tidak kurang juga menyifatkan suami isteri itu wajar dijadikan ikon masyarakat.
Ia berikutan video masakan mereka yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ dengan menggunakan bahasa Melayu, diikuti rakyat pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur termasuk pelanggan dari luar negara.
Bagaimanapun, S Pavithra, 28, dan suaminya M Sugu, 29, yang baharu berjinak-jinak sebagai pengguna YouTube akhir Januari lalu, berasakan mereka belum layak diangkat sebagai duta perpaduan atau ikon tertentu termasuk masakan.
Ibu kepada dua anak berumur dua dan enam tahun yang fasih berbahasa Melayu itu berkata, mereka bukan pasangan yang sempurna dan masih mentah sebagai pengguna YouTube.
“Kami hanya rakyat biasa, nak jadikan ikon itu sesuatu benda yang besar bagi kami, sesuaikah untuk kami? Kami belum layak kerana untuk jadi ikon kena sempurna, tiada yang sempurna dekat kami,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.
Ramai pengikut saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ menyatakan pasangan itu layak dijadikan duta perpaduan kerana berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum dalam saluran mereka dan melontarkan pesanan positif.
Semakan BERNAMA mendapati, ada pengikut di luar negara yang turut men1ngg4lkan komen positif antaranya berkongsi klip masakan dengan rakan lain serta memuji kelembutan Pavithra mengendalikan video.
Selain itu, Pavithra berkongsi berita gembira menerima pendapatan bulan ketiga daripada YouTube dengan jumlah agak lumayan dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin kerana suaminya telah berhenti kerja dengan sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput, minggu lalu.
Positif terhadap apa yang berlaku, Pavithra dan suami nekad untuk terus menghasilkan klip video masakan yang menarik selain mencari idea lain untuk dikongsikan dengan pengikut.
“Sekarang suami tidak bekerja dan apa yang berlaku tidak dijangka (mempunyai ramai pengikut), pendapatan pun ok, maka kami nak fokus sebagai pengguna YouTube,” katanya yang turut berazam memiliki rumah sendiri satu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Sugu memilih berhenti kerja atas dasar tanggungjawab kerana tidak mahu kerja hakikinya sebagai pekerja ladang terg4nggu disebabkan memberi tumpuan sebagai pengguna YouTube.
“Sebelum ini kerap ambil cuti sebab bila ramai datang rumah saya kena tolong isteri jaga anak yang masih kecil. Jadi sekarang kami mahu fokus buat video menarik supaya dapat tingkatkan lagi pelanggan dan dapat gaji lebih,” katanya.
Kisah ‘Sugu Pavithra’ disiarkan BERNAMA pada 8 Mei lalu, yang ketika itu mereka mempunyai 160,000 pengikut dan setakat jam 2 petang semalam, pasangan terbabit mempunyai 644,000 pengikut. – BERNAMA
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : BH Online