Kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas, institusi pendidikan swasta dan surau di sekolah.

KERAJAAN bersetuju membenarkan pembukaan semula pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas, institusi pendidikan swasta dan surau di sekolah.

Namun Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh pembukaan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Hari ini KPM telah pun membentangkan SOP mengenai pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas dan juga surau sekolah kepada mesyuarat khas menteri-menteri.

“Setelah mendengar pembentangan daripada KPM maka mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas serta institusi-institusi pendidikan swasta untuk beroperasi.

“Walau bagaimanapun tarikh dan perinciian SOP tersebut akan diumumkan KPM sendiri,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Malah Ismail Sabri berkata, surau-surau di sekolah juga dibenarkan untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan.

“Kita benarkan surau digunakan sewaktu sesi persekolahan dan SOP juga akan diumumkan KPM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar untuk beroperasi semula.

Namun katanya, tarikh pembukaan sekolah dan madrasah tersebut adalah mengikut tarikh yang akan diumumkan KPM selain pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“Jika sekolah diumum dibuka, jadi tarikh sama boleh beroperasi. Saya percaya KKM akan umumkan mengenai tarikh permulaan sekolah selain pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“Namun sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan perlu mematuhi SOP ditetapkan. Bagi sekolah dan madrasah tahfiz berasrama mereka perlu mengikut SOP di sekolah berasrama yang ditetapkan,” katanya.

Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, Ismail Sabri berkata pihak pengurusan perlu membuat permohonan untuk beroperasi daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Jadi saya harap yang tak berdaftar, kalau nak buka mohonlah dengan pihak berkuasa agama negeri. Tapi saya galakkan mereka supaya mendaftarkan sekolah dan madrasah tahfiz mereka,” katanya.

Semua aktiviti sekolah dibenarkan, kecuali sukan, kokurikulum bersemuka dan perhimpunan

Semua aktiviti sekolah dibenarkan apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti, kecuali sukan, kokurikulum bersemuka dan perhimpunan serta program yang membabitkan himpunan ramai guru dan murid.

Makluman SOP Pembukaan Semula Ekonomi bagi sektor pendidikan yang dikongsi Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, turut menetapkan individu dengan bacaan suhu badan lebih 37.5 Celsius serta menunjukkan simptom seperti s4kit tekak, batuk dan susah bern4fas tidak dibenarkan masuk ke sekolah.

Ia juga memaklumkan, rekod suhu badan guru, murid dan warga sekolah serta pekerja kontrak akan diambil di pintu pagar atau tapak perhimpunan sekolah setiap hari.

Garis panduan itu bagi memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan kesihatan yang dilaksanakan setiap hari di lokasi yang ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula.

Selain itu, mereka yang mahu mengunjungi sekolah juga perlu memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit masing-masing untuk rekod pengesanan kontak rapat.

Pengurusan sekolah turut diwajibkan membuat hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan pada waktu pagi, rehat dan sebelum sesi persekolahan tamat, termasuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Setiap individu yang berada di sekolah perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter, memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

“Cecair pembasmi kuman pada tangan boleh digunakan sekiranya tiada kemudahan air dan sabun,” demikian menurut makluman itu lagi.

Sesi persekolahan yang akan dibenarkan beroperasi kelak hanya membabitkan kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Mulai 19 Mac lalu, semua jenis sekolah di Malaysia diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Ia membabitkan semua prasekolah, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti serta Institut Pendidikan Guru.

Serentak itu, murid sekolah tidak boleh menghadiri aktiviti seperti tuisyen, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum.

Bagaimanapun, kakitangan yang mengendalikan hal ehwal kewangan, keselamatan dan kebersihan dibenarkan hadir bertugas kerana termasuk dalam senarai perkhidmatan penting, namun jumlah pekerja mesti diminimumkan.

sumber : BH

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber :  mStar