Program baharu bakal diperkenalkan untuk menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

KOTA BHARU: Kerajaan akan memperkenal program baharu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat, bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro TataNegara (BTN), yang dimansuhkan kerajaan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata struktur baharu bagi program berkenaan sedang dimuktamadkan, dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.

“Kita (kerajaan) sedang memuktamadkan struktur itu sendiri. Adakah kita nak wajibkan (seperti PLKN)? Ataupun kita ambil wakil dari setiap institusi (seperti pelajar, wakil rakyat dan sebagainya). Kita belum muktamadkan sukatan latihan itu sendiri dan siapakah yang wajib ataupun yang digalakkan hadir ke program ini?

“Harapan saya pengisian bagi program baharu ini dapat dibentangkan sebelum Dewan Rakyat berakhir, supaya kita boleh jawab apa yang dibangkitkan di Parlimen, baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (dua dari kiri) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 kepada Anggota APM, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain (kanan) sambil diperhatikan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahad (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang APM dan Penganugerahan Pingat Pertahanan Awam di Kota Bharu. – NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pada majlis berkenaan 12 pegawai APM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 orang menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.

Ditanya sama ada program baharu itu hampir sama dengan program yang dilaksanakan BTN, Mohd Redzuan berkata, program baharu akan menggabungkan sukatan dan latihan yang diterapkan di dalam PLKN dan BTN, membabitkan modul patriotisme, Perlembagaan Persekutuan, kenegaraan dan penyatuan kaum.

“Kita lebih kepada membina semangat patriotisme. Lebih kepada mahu mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu di negara kita ini, menerusi Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.

Sebelum ini Datuk Seri Ahmad Maslan (PN-Pontian) ketika berucap di Dewan Rakyat memohon agar kerajaan menghidupkan kembali program dan agensi kerajaan yang dimansuhkan kerajaan terdahulu, seperti PLKN, BTN dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). – BERNAMA

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH