10 tahun dulu satu syarikat rakaman dengan tok ti, tak sangka sekarang Anis Suraya buat…

APA khabar pelantun lagu, Cinta Tersimpul Rapi, Anis Suraya sekarang? Kelibatnya yang jarang muncul di layar kaca televisyen termasuk menerusi media sosial membuatkan ramai yang ingin tahu tentang perkembangan dirinya.

Kepada yang tidak mengenali Anis, beliau merupakan artis yang pernah bernaung di bawah label Suria Records bersama-sama Noraniza Idris, Liza Hanim dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada awal tahun 2000.

Pemilik nama sebenar Tengku Ani Soraya Tengku Sulaiman yang kini berusia 40 tahun memberitahu, beliau kini sedang diulit bahagia bersama suami tercinta dan lima cahaya mata kesayangannya.

Menetap di kampung halamannya di Terengganu, Anis berkata, kelebihan itu telah memberi peluang kepadanya untuk menabur bakti di negeri kelahiran sendiri.

Barangkali ramai yang tidak tahu, beliau kini merupakan Pegawai Kebudayaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sebelum itu, Anis pernah berkhidmat sebagai penolong kurator di Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Walaupun jurnal kehidupannya sekarang berbeza dengan dunia glamor yang pernah dilaluinya dulu, Anis secara jujurnya berkata, dirinya tidak kisah.

anis suraya

“Terus terang saya katakan, untuk kembali menjadi artis rakaman, mungkin tidak lagi. Lagipun sekarang saya sibuk jadi juruvokal dan jurutari untuk penuntut UniSZA dan masyarakat yang berminat.

“Sebenarnya, tawaran menjadi pegawai kebudayaan atas dasar minat dan cuba nasib sahaja. Bila saya hantar resume, alhamdulillah saya diterima, tahun ini merupakan tahun ke-4 saya berkhidmat di sini,“ ujar yang sempat muncul dengan empat album dari tahun 1999 hingga 2010.

Gegar Vaganza

Anis yang juga sepupu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal teruja untuk terus bercerita tentang kerjaya baharunya itu.

“Ya, saya sendiri memilih dan mahu menimba pengalaman sebagai penjawat awam. Untuk pengetahuan dan mungkin ramai yang tahu, di Terengganu, wanita memang tidak boleh menyanyi atau menari secara umum. Jadi, saya cuba implemen kelebihan dan pengalaman yang ada sesuai dengan cara dan budaya masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, selepas berkhidmat di UniSZA, peluang untuk berkongsi pengalaman sebagai anak seni lebih terbuka dan sudah tiba masanya untuk saya menyumbang bakti di negeri kelahiran saya,“ katanya turut aktif bersama Majlis Tindakan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Kuala Nerus dan Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Nerus.

Selebriti yang masih kekal langsing itu berkata, perjuangan seni dalam dirinya memang sesekali tidak akan lenyap.

anis suraya

Terbaharu, beliau kini bersama beberapa agensi lain berkolaboratif mengangkat seni warisan gamelan yang semakin dilupakan generasi muda untuk ditonjolkan buat tatapan khalayak.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, saya ambil kesempatan belajar beberapa alatan muzik gamelan. Kemahiran yang saya peroleh itu, kemudian saya perturunkan dan ajar pelajar-pelajar UniSZA,“ katanya.

Seperti artis lain, Anis Suraya yang sudah bergelumang lebih sedekad dalam dunia seni tanah air turut ditawarkan untuk membuat kemunculan semula terutama dalam program seni kegemaran ramai, Gegar Vaganza (GV)

“Ya, saya ada terima panggilan daripada pihak Astro sendiri untuk sertai GV. Namun, saya terpaksa tolak dengan cara baik memandangkan saya kini mempunyai komitmen pada anak-anak yang masih kecil. Susah nak berjauhan dengan keluarga.

“Saya pun hormat keputusan suami. Untuk berkarya secara dalam talian memang tiada masalah, namun untuk berjauhan demi pertandingan seumpama itu, saya rasa belum masanya lagi,“ kata beliau menjelaskan prinsipnya.

Ditanya tentang perihal anak sulungnya, Puteri Elisya Farzana, 13, yang kini sudah mengikut jejak langkahnya dengan berjinak-jinak dalam nyanyian, Anis hanya mampu ketawa.

“Saya tidak pernah halang Elisya untuk berkarya, apa yang penting dia kena utamakan pendidikan terlebih dahulu,” katanya.

Profil

Nama sebenar: Tengku Ani Soraya Tengku Sulaiman

Nama komersial: Anis Suraya

Umur: 40 tahun

Asal: Kuala Terengganu, Terengganu

Kerjaya terkini: Pegawai Kebudayaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu

Pencapaian:

  • 1996: Menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1996.
  • 2000: Mendapat tempat pertama dalam The International Song Festival Voice of Asia 2000 di Medeo Stadium, Almaty, Kazakhstan dan The Best Arrangement Kazakhs Song-Shan Ana (lagu yang diberi inovasi oleh komposer terkenal tanah air, allahy4rh4m Datuk Adnan Abu Hassan dan dinyanyikan oleh Anis dalam bahasa Kazakh).
  • Kejayaan itu telah menjadi titik tolak kepada pihak penganjur Voice of Asia sekali lagi menjemput Anis Suraya untuk muncul bersama bekas pemenang Voice of Asia di Astana, Kazakhstan pada tahun 2003.
  • 2004: Anis diundang menyanyikan lagu tema Citrawarna Malaysia dengan rakan duet, Asha Malik.
  • 2005: Anis merupakan pelantun bagi lagu Tiada Aedes, Tiada Denggi yang masih lagi dimainkan menerusi radio tempatan lain.
  • 2019: Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Kategori Seni dan Budaya Solo

Album:

  • Anis Suraya (1999)
  • Getaran Cinta (2000)
  • Suara Hati (2003)
  • The Best Of Anis Suraya (2010)

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Sinar